Sebuah kehidupan


copy & paste dari email ye..

SATU pagi dalam perjalanan ke pejabat saya terpandang seorang wanita berusia awal 30-an bersama seorang anak lelakinya berusia kira-kira enam tahun sedang bersarapan di tepi jalan di bawah sebatang pokok yang ada pelantar.

Hari kedua mereka masih berada di situ. Tertanya-tanya juga saya apa yang dibuat mereka di situ. Naluri saya mendesak mendekati kedua-dua beranak itu untuk bertanya khabar.

Melayani gerak hati, akhirnya saya berpeluang berjumpa kedua-dua beranak tersebut semasa hendak ke kedai membeli barang.

Selepas memberi salam saya bertanya khabar. Sapaan saya disambut mesra oleh si ibu yang saya namakan K. Lima minit berbual, saya nampak K ramah dan boleh diajak berbicara panjang lebar. Namun saya tidak pula mengambil kesempatan kerana faham K sedang mencari rezeki.

Setelah memberitahu tujuan dan kenapa saya singgah, dia melemparkan senyuman dan mempelawa saya duduk di pelantar bawah pokok itu.

``Terima kasih kerana sudi singgah. Susah-susah sahaja. Setiap hari ini di sinilah saya dan dia (menunjuk ke arah anaknya) datang. Saya bekerja sebagai tukang sapu di kawasan ini. Dia ini tidak ada orang jaga di rumah. Saya bawa bersama, bimbang juga sebab ini kawasan baru,'' kata K.

Saya memandang wajah budak itu yang sedang mengeluarkan sebuah buku dan pensil warna daripada beg.

``Dia tidak sekolah lagi. Tapi rajin melukis. Itulah kerjanya setiap hari sementara menunggu saya selesai kerja. ..'' sambung K ramah.

Bertanya latar belakang K saya diberitahu dia berasal dari negeri Pantai Timur. K merantau ke Kuala Lumpur kerana mengikut suaminya yang bekerja.

Sayangnya setahun di KL suaminya hilang entah ke mana. Khabar yang sampai ke telinga mengatakan suaminya telah bernikah lain dan berpindah ke Melaka.

``Susah kak... mana ada duit. Nak balik perlukan duit, saya ada tiga anak yang sekolah. Malu pada keluarga pun ada, dulu mereka tahan saya jangan ikut suami, tapi saya degil, akhirnya ini yang berlaku.

``Sekarang saya ditinggalkan, terpaksa kerja untuk sara anak-anak. Tapi saya berjanji, apabila duit sudah mencukupi, saya akan balik kampung. Terpulanglah kepada keluarga, nak terima atau tidak,'' katanya.

Setiap hari kata K dia keluar rumah pukul 7 pagi. Kerjanya mungkin selesai sekitar 1 tengah hari. Balik rumah buat kerja rumah pula termasuk memasak untuk anak-anaknya yang balik dari sekolah.

``Hujung minggu saya ambil upah menggosok atau membersih rumah orang... dapatlah tambahan RM100 sebulan, cukup untuk membayar sewa rumah dan belanja sekolah budak-budak,'' tambahnya.

Saya bertanya K, tidakkah dia cuba mencari suaminya, sekurang-kurangnya untuk nafkah anak-anak.

``Buat apa nak cari kak, dia yang tinggalkan kita dan anak-anak. Bukan dia tidak tahu tanggungjawabnya. Tidak apalah, tanpa dia pun saya boleh hidup, sudah setahun kami hidup begini, asal dapat makan, pakai dan anak-anak pergi sekolah sudah mencukupi buat saya,'' jelas K sebak.

Saya merenung ke langit, panas terik kerana jam menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Tapi K macam tidak merasa panas yang membakar tubuhnya.

Hati saya tersentuh. menyedari K akan menyambung kerjanya. Saya juga meminta diri dan mengucapkan terima kasih kerana kesudian K melayani saya. Sambil menggenggam erat tangan saya K meminta saya berdoa untuk kehidupannya yang lebih baik. Saya menganggukkan kepala.

Dua minggu berlalu, setelah pertemuan kami, ketika saya melalui jalan yang sama Sabtu lalu, K dan anaknya tidak kelihatan. Saya singgah seketika bertanya rakan K yang sedang menyapu. Seperti tahu soalan saya, dia berkata, mereka sudah balik kampung.

Terdiam saya. Sedih ada, sebak pun ada. Saya menarik nafas lega setelah diberitahu seminggu selepas saya bertemu mereka, adik K datang membawa mereka balik dengan alasan tidak sampai hati melihat kakaknya bekerja sebagai tukang sapu. Akhirnya nasib K dan anak-anaknya terbela.

Iktibar yang mampu dikutip daripada kisah ini adalah bagaimana ketabahan seorang isteri meneruskan tanggungjawab yang ditinggalkan suami yang tidak bertanggungjawab.

Mengakhiri catatan, apa kata kita renungi bersama kata-kata ini sebagai panduan: ``Janganlah engkau berputus asa atas apa yang hilang daripadamu, dan tidak terlalu bahagia dengan apa yang datang kepadamu. Sesungguhnya kebahagiaan itu adalah apabila diselitkan dengan kesengsaraan.''


* tulah jika tiada kesengsaraan mungkin ramai yang alpa dan gagal memenuhi tuntutan dari yang maha esa, kesengsaran itu hanga dugaan samada kita sanggup atau tidak menempuhi ujian yang diberi oleh Allah s.w.t *

6 comments:

  1. syukur dengan apa yang kita ada kan...huhuhuhu

    ReplyDelete
  2. Saya setuju, bersyukurla dng ape yg kita ade.

    ReplyDelete
  3. jadi harus bersyukur dgn apa yg kita ada...

    ReplyDelete
  4. akak ni best la
    byk cerita best2 letak kat blog
    kita suka baca =)

    ReplyDelete
  5. kita kene sentiasa bersyukur terhadap apa yg kita miliki sekarang.. kerana kalau kita rasa diri kita susah..lagi ramai lagi yg lebih susah dari kita kan..

    ReplyDelete

Terima kasih kepada Blogger yang komen di blog RK. Tunggukan kunjungan balas dan comment dari RK di blog korang ye. Nak Reply comment disini RK takut tak sempat je.

@}------LOL to all comentar------{@

Nota Penting!
Pada yang nak letak Iklan. Tolong letak d ShoutboX atau bayar RK RM o.5o per comment boleh? boleh jugak beli cekedis ~ ahaks~

Followers

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...